Front Row Hotties juarai Kejohanan Ragbi Wanita 10s 2016

Front Row Hotties juarai Kejohanan Ragbi Wanita 10s PITKM Cawangan Sabah – KRM 2016

Front Row Hotties juarai Kejohanan Ragbi Wanita 10s PITKM Cawangan Sabah – KRM 2016

Pasukan Front Row Hotties(FRH) telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Ragbi Wanita 10s PITKM Cawangan Sabah – KRM 2016 setelah menewaskan pasukan Angel Warriors di pusingan akhir cup berkesudahan dengan kutipan mata 12 berbalas 7. Pasukan FRH yang sebahagian besar dibarisi oleh bekas pemain berpengalaman dari kelab RSC Dingoes ternyata cemerlang dengan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan berlansung. Pasukan Angel Warriors yang mara ke pusingan akhir cup juga turut mencatatkan rekod tanpa kalah di kejohanan ini. Sebanyak 42 perlawanan dari dua kumpulan yang disertai seramai 13 pasukan telah berentap selama dua hari kejohanan di Padang C, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.

Raimi bin Mohd Yusof selaku jurulatih bagi pasukan FRH turut mengulas “Sesungguhnya bukan laluan mudah untuk pasukan kami untuk menjadi juara di mana sepanjang kejohanan ini kami terpaksa berhempas pulas untuk menentang pasukan lawan yang berpengalaman seperti pasukan Lady Shark, Sarawak Letto Rhinos, COBRA Venom dan beberapa pasukan lain. Sesungguhnya semangat ingin bermain yang ditonjolkan oleh pasukan lawan amat memberansangkan. Walaupun dengan persediaan pasukan selama 2 bulan sebelum kejohanan, namun dengan kombinasi & komunikasi yang baik di antara pemain berpengalaman dan pemain baru ini membuahkan hasil.”

Pasukan FRH ini adalah kesinambungan dari pasukan ragbi wanita RSC Dingoes yang turut diterajui oleh Raimi Mohd Yusoff selaku jurulatih, namun oleh kerana tiada kesinambungan hala tuju dari pihak Kelab DiRaja Selangor(Royal Selangor Club) bagi pasukan wanita ini maka kelab ragbi Front Row Club(FRC) mengambil keputusan untuk menyerap mereka. Seramai 8 orang pemain dari RSC Dingoes telah berjaya dipilih untuk ke pasukan FRH ini. Selebihnya memilih untuk menyertai pasukan KL Tigers, COBRA Venom dan Lady Rhinos atau dikenali sebagai Sarawak Letto Rhinos dalam kejohanan ini.

Menurut jurulatih pasukan ini juga, pihak FRC sememangnya telah membuat pelaburan besar untuk memberi fokus pada pasukan ini dengan mewujudkan satu program pembangunan bagi pemain wanita yang ingin mewakili pasukan kebangsaan selain menjayakan beberapa program yang telah dirangka oleh pihak Kesatuan Ragbi Malaysia. Hasil dari kejuaraan ini, seramai 5 pemain wanita pasukan FRH telah dipilih ke skuad kebangsaan namun 2 dari pemain tersebut terpaksa menarik diri kerana komitmen kerjaya.

Mengulas tentang penganjuran julung kali ini, Raimi Mohd Yusoff turut berkata “Penganjuran pertandingan ini adalah amat penting bagi memberi pengalaman kepada para pemain. Jurulatih harus peka pada latihan yang berbeza berbanding pasukan lelaki. Saya amat berharap kelab-kelab atau persatuan negeri turut sama membangunkan sukan ragbi wanita ini. Sukan ragbi wanita juga merupakan salah satu aspek atau penanda aras bagi World Rugby selaku badan induk dunia bagi sukan ini.”

Seterusnya seramai 15 pemain wanita terpilih akan diserap ke latihan pusat pasukan ragbi wanita untuk persediaan ke Kejohanan 7 sebelah Asia Tenggara yang akan berlansung di Singapura pada 15-17 April ini. Program latihan pusat dijangka akan bermula dari 1 Mac 2016 sehingga 13 April 2016 bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Pihak Kesatuan Ragbi Malaysia juga turut berhasrat agar pasukan ini dapat membentuk satu pasukan yang mantap untuk persediaan ke temasya Sukan SEA 2017 dan beberapa perlawanan antarabangsa nanti.

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


X