KS DBKL Terbukti Ungguli NS Royal 7s 2016!

Sukandaily - Kejohanan Ragbi Antarabangsa Power Royal Sevens 2016 - Kelab Sukan DBKL

Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berjaya mengekalkan kejuaraan untuk kali kedua setelah menang tipis ke atas pasukan Iskandar Raiders 24 berbalas 21 dalam perlawanan akhir Cup di Kejohanan Ragbi Antarabangsa Royal Sevens 2016 Ke-18. Foto – Sukandaily

Sukandaily - Kejohanan Ragbi Antarabangsa Royal Sevens 2016Penyandang juara edisi lalu dan kini telah dinobatkan sekali lagi selaku juara Kejohanan Ragbi Antarabangsa Royal Sevens 2016 Ke-18, KS DBKL ternyata mampu meletakkan pasukan ini dalam kelompok ragbi 7 sepasukan yang disegani di tanah air. KS DBKL yang beraksi dalam saingan Kumpulan A bersama pasukan Singapore RU, Wiseguys OB dan ATM JLJ ternyata tidak menerima tentangan sengit apabila berjaya menewaskan semua pasukan lawan. Begitu juga dalam saingan suku akhir dan separuh akhir, KS DBKL terus membelasah pasukan lawan tanpa memberi peluang untuk sebarang kutipan mata balas. Finalis bagi edisi ke-17 yang lalu, ternyata pasukan SSTMI Tsunami tidak mampu untuk terus membuahkan hasil berentap dengan KS DBKL ini walaupun berjaya menewaskan pasukan Terengganu RC dalam saingan suku akhir. Terengganu juga di antara pasukan yang mula menyinar setelah merangkul juara dalam Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan 2016 lalu.

Iskandar Raiders antara pasukan dari selatan tanah air yang tidak kurang hebatnya telah dijodohkan untuk berentap bersama KS DBKL perlawanan di pusingan akhir. Iskandar Raiders yang telah membelasah ke semua pasukan dalam saingan kumpulan D ternyata memberi isyarat awal untuk memberi tentangan hebat di pusingan akhir. Kedua-dua pasukan yang sememangnya hebat ternyata memberikan aksi mendebarkan kepada para peminat yang hadir untuk meneka pasukan manakah yang bakal menjuarai kejohanan. Namun pasukan KS DBKL ternyata terpaksa berhempas pulas untuk mengikat mata kemenangan sebanyak 24 berbalas 21.

Sukandaily - Kejohanan Ragbi Antarabangsa Power Royal Sevens 2016 - Kelab Sukan DBKL vs Iskandar Raiders

Pemain Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Fairuz Rahman(merah) melakukan tumbang belakang keatas lawannya dari pasukan Iskandar Raiders
di Kejohanan Ragbi Antarabangsa Royal Sevens 2016 Ke-18 di padang Majlis Perbandaran Seremban. Foto – Sukandaily

“Sudah pasti saya amat berbangga dan berpuas hati dengan mereka. Segala penat lelah dan komitmen yang diberikan selama 3 minggu untuk latihan intensif di Kuala Lumpur akhirnya terbalas. Tiada sebarang rahsia dan tiada sebarang kata-kata penuh semangat kepada pasukan. Pujian harus diberikan kepada mereka. Mereka berusaha keras untuk memberikan tahap kecergasan pasukan di peringkat terbaik..”, berkata Nik Safuan Ismade Mik Man selaku jurulatih pasukan KS DBKL, mengulas tentang kejayaan cemerlang dalam pusingan kumpulan dan membelasah semua pasukan di saingan seterusnya. Pertama kali Nik Safuan Ismade diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan ini dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa Royal Sevens adalah pada 2013 di mana berjaya mara ke pusingan suku akhir.

Jurulatih yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini juga turut mengulas kejayaan menewaskan pasukan Singapura RU di mana beranggapan Singapura tidak menurunkan pasukan utama mereka. Sebaliknya menurunkan para pemain program pembangunan mereka untuk menimba pengalaman dalam persiapan ke Sukan SEA tahun depan di Kuala Lumpur. Nik Safuan Ismade turut menzahirkan kemenangan ini semoga dapat menarik minat di kalangan pemain-pemain baru khususnya di kalangan warga DBKL sendiri untuk turut serta mewakili kelab KS DBKL ini.

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


X