Ipoh Lions Juara Pertama Shah Alam 10s

Sukandaily - Kejohanan Shah Alam 10s

Pasukan Ipoh Lions menjuarai edisi pertama Kejohanan Shah Alam 10s.

Pasukan ragbi Ipoh Lions yang berpusat di Ipoh telah berjaya merangkul kejuaraan edisi pertama Kejohanan Shah Alam 10s yang telah berlansung pada 26 hingga 27 November lepas setelah menewaskan pasukan SKIRA Eagles di pusingan Cup. Pasukan ini yang mula dibentuk sejak 2008 mensasarkan kepada para pemain lepasan sekolah sekitar negeri Perak yang tidak bernaung di mana-mana kelab. Namun kini, Ipoh Lions mula mengorak langkah menjadi platform untuk para pemain ke peringkat lebih tinggi mewakili negeri Perak di peringkat kebangsaan seperti Kejohanan Piala Agong. Untuk rekod, sepanjang tahun 2016 ini pasukan Ipoh Lions turut telah merangkul juara Cup di Kejohanan Uitm perak 7s(Piala Menteri Besar Perak) dan Silver Youth Rugby Cup yang baru berlansung di negeri Perak.

Sukandaily - Kejohanan Shah Alam 10s

Pasukan Ipoh Lions(jersi hitam putih) bersama SKIRA Eagles yang menempah slot ke pusingan akhir Cup Kejohanan Shah Alam 10s.

“Kami tidak mensasarkan untuk menjuarai walaupun kami datang jauh dari Ipoh. Pertama kali kami menyertai kejohanan di sekitar Lembah Klang ini dengan niat sekadar berjumpa kawan-kawan lama di sini. Saya memberi peluang kebebasan kepada pasukan untuk bermain & percaturan strategi supaya para pemain mendapat keserasian di atas padang. Apa yang kami perlu fokuskan adalah untuk berusaha menang dalam setiap perlawanan.”, ujar Firdaus Ahmad berusia 26 tahun selaku pengurus pasukan Ipoh Lions di Kejohanan Shah Alam 10s ini.

Sukandaily - Kejohanan Shah Alam 10s

Kejohanan sulung namun turut berjaya mendapat kepercayaan dari pihak penaja seperti MYNIC Berhad, Strike, F&N Group dan Lucozade.

Sebanyak 32 pasukan dalam dua kategori iaitu bawah 16 tahun dan 23 tahun telah menyertai Kejohanan Shah Alam 10s edisi pertama kali ini yang dianjurkan oleh Kelab Ragbi Shah Alam. Malah dalam penganjuran kali pertama ini, pujian harus diberikan kepada pihak penganjur kerana berusaha untuk memberikan yang terbaik khususnya dalam menyediakan fasiliti asas kepada para pasukan yang bertanding seperti khemah dan pasukan perubatan. Tiada ganjaran wang tunai ditawarkan kepada para pasukan, namun rata-rata para pemain yang ditemuramah oleh pihak Sukandaily menyatakan pendirian yang positif dan berharap agar kejohanan ini dapat diteruskan pada edisi seterusnya. Walaupun ini adalah kejohanan sulung namun turut berjaya mendapat kepercayaan dari pihak penaja seperti MYNIC Berhad, Strike, F&N Group dan Lucozade.

Sukandaily - Kejohanan Shah Alam 10s

Pasukan perubatan sentiasa disediakan sepanjang Kejohanan Shah Alam 10s yang telah berlansung selama 2 hari.

Kelab Ragbi Shah Alam yang baru ditubuhkan seawal tahun 2016 ini telah mengorak langkah menganjurkan kejohanan pertama mereka iaitu Kejohanan Liga Shah Alam 15s 2016 pada April & Mei 2016 lepas di mana terdapat 8 pasukan telah bertanding. Kejohanan Shah Alam 10s edisi pertama yang berlansung di padang SK TTDI Jaya, Shah Alam ini adalah kejohanan yang kedua dianjurkan oleh kelab ini.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun julung kali diadakan. Terima kasih kepada pasukan yang bertanding dan juga terima kasih kepada pihak-pihak penaja yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk penganjuran julung ini. Harapan kami pada tahun depan Kejohanan Ragbi Shah Alam 10s akan berlangsung dengan lebih meriah lagi dari tahun ini.”, ujar Ahmad Nizam bin Mohd Sabri, Presiden kelab Ragbi Shah Alam.

Sukandaily - Kejohanan Shah Alam 10s

Ahmad Nizam bin Mohd Sabri(kiri), Presiden kelab Ragbi Shah Alam.

Manakala Adlan Zil-Ikram bin Ramli selaku Setiausaha Kelab Ragbi Shah Alam turut mengulas kepada Sukandaily, “Sambutan pasukan yang diterima dalam kejohanan ini amat memberansangkan. Walaupun tarikh tutup penyertaan telah di tutup seawal beberapa bulan lepas masih ada pasukan yang berminat untuk menyertai. Namun kami terpaksa hormati keputusan yang telah dibuat untuk memastikan penganjuran berjalan lancar. Kami alu-alukan penyertaan dari pasukan-pasukan yang berminat untuk bertemu di edisi seterusnya nanti”.

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


Page generated in 2.021 seconds. Stats plugin by www.blog.ca
X