Ganjaran Tunai Terbesar Oleh Kesatuan Ragbi Malaysia

Liga Premier 2017 – Ganjaran wang tunai sebanyak RM10,000.00 bakal menanti pasukan juara, manakala naib juara bakal meraih RM5000.00, tempat ke-3 RM3000.00 dan ke-4 membawa pulang RM1000.000.

Ganjaran wang tunai sebanyak RM10,000.00 bakal menanti bagi juara edisi pertama saingan Liga Premier Kejohanan Liga Ragbi Malaysia 2017 nanti. Ganjaran ini merupakan hadiah wang tunai yang terbesar pernah ditawarkan sepanjang sejarah penganjuran oleh Kesatuan Ragbi Malaysia. Satu perkembangan yang baik dalam industri sukan ragbi tanah air apabila berjaya mempertingkatkan kualiti penganjuran di samping ganjaran untuk setiap pasukan yang bertanding. Perkembangan ini juga sudah pasti menambah keyakinan dari pihak penaja untuk membantu Kesatuan Ragbi Malaysia dalam setiap program yang dianjurkan.

Walaupun hadiah wang ganjaran yang ditawarkan mungkin jauh lebih rendah dari kos yang diperlukan oleh pasukan elit untuk berentap dalam satu musim namun ianya tetap menjadi satu penanda aras yang baik ke arah penambahbaikan yang cuba dilakukan oleh badan induk ragbi tanah air ini. Sudah pasti selama ini kos yang ditanggung oleh setiap pasukan ragbi menjadi salah satu faktor “hidup dan mati” pasukan terbabit untuk terus kekal mewarnai sukan ini. Rata-rata pasukan ragbi yang menyertai sebarang kejohanan di seluruh tanah air ditubuhkan atas faktor semangat ingin bermain di dalam diri tanpa menjadikan wang sebagai dorongan. Begitu juga dengan sebahagian besar penganjuran kejohanan ragbi di negara ini yang tidak menawarkan sebarang wang tunai sebagai ganjaran kejuaraan.

“Kami selaku badan induk sudah pasti sentiasa berusaha untuk yang terbaik dalam setiap penganjuran di mana hala tuju ke arah profesionalisma pada 2018 nanti. Hasil tajaan yang diterima sudah pasti akan digunakan sebaik mungkin di samping memberi peluang kepada para pemain, pegawai dan pasukan untuk beraksi ke peringkat lebih tinggi.”; berkata Encik Mohd Mazuri Sallehuddin selaku Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia(kini dikenali sebagai Malaysia Rugby) yang dihubungi oleh pihak Sukandaily.

Zamri bin Abdul Kahar(tshirt biru) selaku pengurus merangkap jurulatih bagi pasukan UiTM Lions pada perlawanan kedua mereka menentang pasukan SSTMI Tsunami dalam Kejohanan Liga Super Kesatuan Ragbi Malaysia 2015. FOTO – Sukandaily

Zamri bin Abdul Kahar(tshirt biru) selaku pengurus merangkap jurulatih bagi pasukan UiTM Lions pada perlawanan kedua mereka menentang pasukan SSTMI Tsunami dalam Kejohanan Liga Super Kesatuan Ragbi Malaysia 2015. FOTO – Sukandaily


Sementara itu jurulatih pasukan UiTM Lions; Zamri Abd Kahar turut mengulas “Ianya satu perkembangan yang positif untuk edisi sulung ini namun ianya tetap menjadi harapan bagi setiap pasukan yang bertanding agar dipertingkatkan lagi jumlah ganjaran. Rata-rata pasukan membelanjakan sekali ganda paling minimum untuk sepanjang musim ini. Pasukan yang didominasi oleh sebahagian besar pemain tempatan yang bagus seperti UPM Angels sudah pasti tidak menjadi masalah tetapi bukan untuk pasukan lain yang beraksi dengan pemain import di pentas tertinggi ini. Kudrat pemain import sememangnya perkara biasa dalam kejohanan sukan berprestasi tinggi. Mohon pihak badan induk agar dapat mencari penaja utama yang dapat menaja ganjaran lebih besar agar setiap pelaburan oleh pasukan itu berbaloi.”

Mohd Shafie bin Osman(tshirt biru) sewaktu menyampaikan taklimat kepada para pemain Politeknik Malaysia di padang A, Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Mohd Shafie bin Osman(tshirt biru) sewaktu menyampaikan taklimat kepada para pemain Politeknik Malaysia di padang A, Universiti Putra Malaysia, Serdang.


Manakala Mohd Shafie bin Osman yang membimbing pasukan Politeknik Malaysia berkata “Tidak dapat dinafikan ganjaran tunai hadiah kemenangan adalah salah satu motivasi untuk pasukan yang bertanding dalam apa jua kejohanan sekali pun. Ini menunjukkan bahawa Malaysia Rugby amat komited dalam memajukan sukan ragbi tanah air.”

Kos penganjuran bagi edisi pertama Kejohanan Liga Ragbi Malaysia 2017 yang menghimpunkan penganjuran 3 divisyen serentak dilaporkan hampir mencecah RM400,000.00. Bagi Liga Premier 2017, ganjaran wang tunai sebanyak RM10,000.00 bakal menanti pasukan juara, manakala naib juara bakal meraih RM5000.00, tempat ke-3 RM3000.00 dan ke-4 membawa pulang RM1000.000. Setiap pasukan yang bertanding di dalam saingan Liga Premier ini dikenakan yuran kejohanan sebanyak RM2,000.00 manakala RM700.00 untuk saingan Divisyen 1 dan Divisyen 2 berserta deposit sebanyak RM1000.00 bagi ke semua pasukan.

Bagi pihak Sukandaily, merangkul kejuaraan tanpa memikirkan ganjaran wang tunai yang bakal diterima adalah satu kemenangan yang paling prestij dan lebih bermakna bagi setiap individu yang terlibat. Secara tidak lansung membantu membentuk sasiah pembangunan diri dan semangat kekeluargaan yang sememangnya terkenal dalam budaya sukan ragbi ini. Namun, kekukuhan wang ringgit dalam sesuatu pasukan dan penganjuran tetap menjadi satu sandaran yang perlu dipikirkan untuk memastikan kelansungan hidup dan mati sukan ini untuk terus maju.

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


Page generated in 1.378 seconds. Stats plugin by www.blog.ca
X