NS Wanderers Catat Kemenangan

NS Wanderers sasarkan untuk berada di tempat ke-4 teratas untuk menamatkan musim Liga Ragbi Malaysia 2017 ini. Kredit Foto – Sukandaily

NS Wanderers yang telah diundi untuk beraksi dalam saingan kumpulan maut iaitu kumpulan A dalam Liga Premier ini telah bermula dengan cemerlang setelah menewaskan pasukan Politeknik Malaysia dalam perlawanan pertama musim ini. Namun di babak awal permainanan, pasukan NS Wanderers kelihatan hilang rentak permainanan setelah diasak laju oleh Politeknik Malaysia yang telah berlansung di padang A, Universiti Putra Malaysia Serdang. Seawal minit ke-5 kesilapan mudah yang dilakukan oleh pasukan NS Wanderers ini telah dihukum 3 mata pertama yang dikutip melalui tendangan penalti oleh pemain fullback Politeknik Malaysia, Mohd Amir Aswad bint Mat Saad.

Amirul bin Sani akhirnya berjaya memecah kebuntuan pasukan NS Wanderers apabila berjaya mendapat jatuhan try pertama. Pemain import Fiji baru yang membuat penampilan sulung bersama pasukan NS Wanderers ini; Samuela Tamanisau terus memastikan mata tendangan conversion dikutip padu. Politeknik Malaysia yang kelihatan amat lincah di atas padang dengan taktikal kemas untuk menyerang memaksa NS Wanderers hanya mampu memperkukuhkan pertahanan. Politeknik Malaysia yang terus berjaya mengutip mata penuh hasil dari jatuhan try dan tendangan conversion terus mendahului 24 berbalas 20 di separuh masa pertama.

Menjelang aksi separuh masa kedua, NS Wanderers mula menguasai perlawanan sebaliknya pasukan Politeknik Malaysia mula kehilangan punca untuk mengawal bola. Asakan demi asakan dari kedua-dua pasukan bertambah rancak sehinggakan kedua pasukan ini mula mengutip kad kuning pertama untuk musim ini dalam perlawanan sulung mereka. Jurulatih berpengalaman; Raime Yusof yang masih membimbing pasukan NS Wanderers untuk musim ini terus melakukan beberapa pertukaran pemain setelah situasi kelihatan mula memihak kepada mereka. Percaturan bijak yang berjaya diterjemah padu oleh para pemain NS Wanderers untuk mengutip mata lengkap melalui jatuhan try dan tendangan conversion akhirnya berjaya menamatkan permainan dengan keputusan 41 berbalas 31.

Barisan pasukan ragbi NS Wanderers yang turun beraksi menentang Politeknik Malaysia di di padang A, Universiti Putra Malaysia Serdang.

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran dalam perlawanan pertama kami ini. NS Wanderers telah diundi untuk berentap bersama-sama pasukan yang hebat semuanya. Namun kemenangan yang diraih semalam adalah sesuatu yang amat membanggakan. Saya amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain yang tidak berputus asa hingga ke saat akhir. Strategi dan taktikal dari jurulatih pasukan, Raimi Yusof banyak membantu pasukan dalam kemenangan ini.”, ujar Fatin Atiqa Binti Abd Jalil selaku pengurus pasukan NS Wanderers.

Fatin juga turut mengulas yang pasukan Politeknik Malaysia ternyata bukan memberi laluan mudah kepada NS Wanderers. Kelincahan & kecergasan para pemain pasukan lawan ternyata lebih bagus berbanding pasukan NS Wanderers. Kehadiran kudrat import seramai 4 pemain Politeknik Malaysia ternyata menambahkan lagi cabaran besar buat NS Wanderers. Manakala NS Wanderers hanya menagih kudrat import Fiji mereka iaitu Samuela Tamanisau dan Nemia Cavuilati yang membuat penampilan sulung bersama pasukan.

NS Wanderers yang dibarisi gandingan pemain tempatan baru dari Negeri Sembilan dan beberapa pemain senior di dalam pasukan hanya mensasarkan untuk berada di tempat ke-4 teratas untuk menamatkan musim Liga Ragbi Malaysia 2017 ini.

Pada perlawanan seterusnya NS Wanderers dijadualkan untuk berentap bersama pasukan Serdang Angels pada 11 Februari 2017 nanti bertempat di padang A, Universiti Putra Malaysia Serdang.

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


Page generated in 1.586 seconds. Stats plugin by www.blog.ca
X