Navy Orca Melangkah Ke Divisyen 1

Juara Liga Ragbi 2017 Divisyen 2 Navy Orca. Kredit Foto – Sukandaily

Perlawanan akhir Divisyen 2 Liga Ragbi 2017 yang berlansung seawal jam 0200 petang sedikit tidak goyah buat pasukan yang berkobar-kobar untuk menjuarai edisi pertama kali yang diperkenalkan ini. Seperti diduga, akhirnya pasukan pilihan yakni ATM Navy Orca dari kumpulan B dan Terengganu RT dari kumpulan D mara dengan penuh matlamat untuk berentap di pusingan akhir ini. Berentap di padang Universiti Putra Malaysia, pengalaman sebahagian besar para pemain ATM Navy Orca ternyata menjadi sandaran padu untuk menewaskan pasukan Terengganu RT yang sebahagian besar dibarisi pemain muda.

Sepak mula yang dimulakan oleh Terengganu RT berjaya ditendang keluar oleh pemain ATM Navy Orca di awal permainan. Bermula dengan balingan line-out yang cantik, Terengganu RT terus memberi asakan padu sehinggakan memperolehi tendangan penalti pertama seawal minit pertama permainan namun gagal memberi kelebihan. Asakan demi asakan bertali arus oleh pemain Terengganu RT di kubu lawan mengucar-ngacirkan jentera pasukan ATM Navy Orca namun masih belum membuahkan hasil. Penguasaan bola sepenuhnya di awal permainan oleh Terengganu RT membuatkan ATM Navy Orca seolah-olah hilang rentak permainan di atas padang.

Pemain Terengganu Rugby Team Muhamad Haikal Ibrahim(tengah) cuba melepasi halangan dua permain Navy Orca semasa pertemuan Akhir Divisyen 2 Air Asia Liga Ragbi Malaysia yang telah diadakan di padang A, Universiti Putra Malaysia, Serdang. Kredit Foto – Sukandaily


Pada minit ke-8, akhirnya mata pertama buat pasukan Terengganu RT berjaya dikutip setelah tendangan penalti mudah berjaya disempurnakan oleh Muhammad Faziemi Bin Johari. Namun pada minit-minit seterusnya penguasaan bola mula bertukar ganti di mana ATM Navy Orca sedikit demi sedikit mula menghampiri garisan try. Rempuhan demi rempuhan pantas para pemain barisan hadapan ATM Navy Orca membuka dorongan ternyata memberi gambaran kerapuhan pertahanan pasukan lawan. Percaturan pasukan Terengganu RT yang kian goyah akhirnya memberi peluang kepada pemain lock ATM Navy Orca, Khairilmizan Bin Ishak untuk terus meluru melakukan jatuhan try pertama buat pasukan. Seterusnya 2 mata lagi melalui tendangan conversion berjaya disempurnakan oleh Mohd Tarmizi Bin Kamaruddin selaku pemain flanker ATM Navy Orca.

ATM Navy Orca yang mula mendapat rentak permainan terus menguasai bola di atas padang. Serangan demi serangan mula merencatkan rentak permainan Terengganu RT namun masih mampu untuk menghalang pasukan lawan mencipta peluang. Walaupun banyak balingan line-out oleh ATM Navy Orca berjaya dipatahkan ianya masih tidak dapat memberi kelebihan buat pasukan anak didik Izami Zainuddin mencipta peluang untuk mara ke kubu lawan. Permainan semakin sengit seolah-olah ATM Navy Orca mengetahui pasukan lawan makin tertekan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-35 setelah pemain tengah pasukan, Mohd Saiful Izwan Bin Rosli berjaya menambah 5 mata melalui try yang dilakukan. 12 berbalas 3 sekali gus meletakkan ATM Navy Orca untuk mendahului pada separuh masa pertama ini.

Pemain center Terengganu Rugby Team Muhammad Faziemi Johari(belakang) cuba melakukan tumbangan belakang ke atas winger Navy Orca Mohd Rosli M.Nor(tengah) sambil fullback Muhammad Afnan Hamimi Ja’afar(depan) bersedia untuk membantu semasa perlawanan Akhir Divisyen 2 yang telah diadakan di padang A Universiti Putra Malaysia, Serdang. Kredit Foto – Sukandaily


Pada separuh masa kedua, permainan kembali sengit menyaksikan beberapa pemain dari kedua-dua pasukan terpaksa ditukar ganti disebabkan kecederaan. Jentera Terengganu RT dilihat tidak mampu untuk mencipta serangan dengan corak permainan yang semakin pasif. Amirul Asyfar B. Muhd Zhahir selaku pemain paling senior di dalam pasukan Terengganu RT dilihat mula memberi semangat kepada teman sepasukan untuk terus berjuang. Menjelang minit ke-35 pada separuh masa kedua, Terengganu RT berjaya menambah 5 mata melalui jatuhan try oleh pemain gantian, Muhammad Fadhil Bin Mohd Sauti namun masih tidak dapat untuk mendahului perlawanan hingga tamat permainan.

ATM Navy Orca yang berjaya menamatkan perlawanan ini dengan kutipan mata 12 berbalas 8 kini dinobatkan selaku juara Divisyen 2 Liga Ragbi 2017 sekaligus melayakkan untuk berentap dalam Divisyen 1 pada musim hadapan. ATM Navy Orca juga turut membawa pulang ganjaran RM2000.00 manakala Terengganu RT membawa pulang RM1000.00.

Dua pemain Navy Orca cuba mengekang pergerakan pemain Terengganu Rugby Team(tengah) di perlawanan Akhir Divisyen 2 untuk layak ke Divisyen 1 musim 2018. Kredit Foto – Sukandaily


Untuk rekod, ATM Navy Orca yang telah diundi di dalam Kumpulan B mara ke pusingan suku akhir setelah menewaskan Vioba Blues manakala Terengganu RT yang hadir dari kumpulan D setelah menewaskan pasukan UTP Drillers dalam perlawanan lalu. Sepanjang kempen Divisyen 2 Liga Ragbi 2017 ini, kutipan mata tertinggi berjaya dikutip oleh Terengganu RT setelah menewaskan pasukan USM Jokers berkesudahan 51 berbalas 17. Manakala buat pasukan ATM Navy Orca sebanyak 25 mata menewaskan pasukan RMP Pahang dalam aksi peringkat kumpulan.

Walaupun Terengganu RT tewas kepada pasukan juara, kredit harus diberikan di mana barisan anak muda sebahagian besar berusia bawah 20 tahun yang mampu memberi saingan sehinggakan ATM Navy Orca hampir hilang rentak sepenuhnya di awal permainanan.

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


X