COBRA Kini Berusia 50 Tahun!

Tanggal 8 Jun 1967 merupakan tarikh bersejarah penubuhan kelab Combined Old Boys Rugby Association(COBRA). Kredit Foto – Facebook.com/cobrarugbyclub1967

Kelab ragbi yang pada awalnya ditubuhkan dengan objektif untuk memberi dorongan kepada para pemain lepasan sekolah untuk terus bermain kini telah berusia 50 tahun penubuhan. Kelab ragbi ini juga di antara kelab ragbi yang tertua di tanah air dan masih aktif menganjurkan program pembangunan dan kejohanan – kejohanan berprestij tinggi mampu menarik penyertaan dari pasukan luar negara. Tanggal 8 Jun 1967 merupakan tarikh bersejarah penubuhan kelab Combined Old Boys Rugby Association(COBRA) ini setelah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia( Registrar of Societies). Pada 2012, di bawah bidang kuasa Persuruh Jaya Sukan Malaysia kelab ini telah menukar nama kepada COBRA Rugby Club.

Pada tahun 1967, COBRA juga turut mencatat sejarah apabila memperkenalkan format ragbi 10 sepasukan yang menjadi salah satu format permainan yang diiktiraf oleh World Rugby (sebelum ini dikenali sebagai International Rugby Board). Format 10 sepasukan mula berkembang setelah mendapat perhatian dari negara-negara Asia lain untuk turut sama bermain ragbi oleh kerana peluang untuk berentap berbanding format 15 atas faktor fizikal pemain. Kejayaan ini merupakan satu sumbangan terbesar di dalam sejarah ragbi di mana Malaysia berjaya mencipta format permainan ragbi yang berjaya mencetuskan fenomena. Pada tahun yang sama ini juga COBRA telah menganjurkan Kejohanan COBRA 10s pertama kali dan berjaya menarik penyertaan dari pasukan antarabangsa sehingga kini. Penganjuran kejohanan ragbi 10s ini tidak hanya berlansung di Malaysia malah di Hong Kong, Australia dan Afrika Selatan.

Sepanjang penubuhan kelab ragbi ini juga turut telah menerima beberapa anugerah dari pelbagai pihak di antaranya ialah Anugerah Kepimpinan Sukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) pada tahun 1996 di atas usaha mempromosi dan menganjurkan program pembangunan ragbi di negara ini. Malah pada 2002, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa(International Olympic Council) juga turut telah menganugerahkan IOC Diploma di atas usaha berterusan kelab ragbi ini. Kesatuan Ragbi Malaysia juga turut memberikan anugerah Kelab Ragbi Terbaik Untuk Program Pembangunan pada tahun 2015.

Sejak penubuhan kelab ragbi COBRA ini juga telah banyak menghasilkan ramai pemain-pemain ragbi berkualiti beraksi di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat negeri. Malah pada tahun 2013 pemain dari kelab ini, Dineswaran a/l Krishnan atau Dugro telah berjaya mengembangkan karier ragbi beliau untuk beraksi di Jepun bersama pasukan Yamaha Jubilo. Sesungguhnya Dugro tidak menghampakan para peminat ragbi di sini dan sudah pasti buat COBRA apabila menjadi tunggak utama kemenangan pasukan Yamaha Jubilo dalam kejohanan Top League Best XV pada 2015.

50 tahun penubuhan kelab ragbi COBRA ini sudah pasti tidak terkira sumbangan setiap warga kelab ini dalam lipatan sejarah ragbi tanah air. Tahniah dan terima kasih! Dari kami di Sukandaily dan semua warga peminat ragbi tanah air di atas sumbangan dan kejayaan COBRA. Semoga COBRA terus maju di masa hadapan!

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


Page generated in 1.249 seconds. Stats plugin by www.blog.ca
X