NS Royal 7s: Pentas Pembangunan Ragbi Sekolah

NS Royal 7s adalah pentas terbaik buat para pemain dan pengurusan pasukan khususnya di peringkat pembangunan untuk mengutip pengalaman bersama pasukan ternama malah dari luar negara. Kredit Foto – Sukandaily

Kejohanan NS Royal 7s merupakan salah satu kejohanan ragbi 7 sepasukan yang paling berprestij dianjurkan di dalam negara sejak 1999. Penyertaan dari pasukan luar negara telah meletakkan satu tanda aras kejayaan penganjuran kejohanan sejak sekian lama. Malah penganjuran NS Royal 7s mempertaruhkan kategori peringkat sekolah secara tidak lansung menjadikan pentas terbaik peringkat pembangunan sukan ini untuk berkembang.

SCC Colts dari Singapura, Maties Academy dari Afrika Selatan, Trafalgar High School dari Cape Town dan Chinese Taipei Jr adalah di antara pasukan yang telah berentap dalam kategori sekolah sedikit sebanyak memberi cabaran kepada pasukan sekolah tempatan. Sewajarnya pihak sekolah yang mempunyai pasukan ragbi harus mengambil peluang ini untuk menimba pengalaman berentap di pentas antarabangsa ini.

Selain itu dengan penyertaan dari sekolah-sekolah seluruh negara khususnya sekolah berasrama penuh yang terkenal dengan sukan ragbi menjadikan penganjuran ini semakin menarik. Namun kadang kala sekolah berasrama penuh yang mendominasi dalam sukan ini juga turut tergugat dengan asakan pasukan sekolah harian biasa hadir memberi cabaran. Senario ini secara tidak lansung memecah tradisi sekolah tertentu selaku kuasa besar ragbi di dalam negara.

Mohd Hafiz Bin Zainon selaku jurulatih pasukan SMK Abi, Perlis. Kredit Foto – Sukandaily


“Penganjuran kejohanan ragbi 7 sepasukan ini adalah terbaik di peringkat sekolah. Pentas terbaik buat para pemain dan pengurusan pasukan khususnya di peringkat pembangunan untuk mengutip pengalaman bersama pasukan ternama malah dari luar negara. Kita boleh melihat setiap pasukan mempunyai cara bermain tersendiri di mana di situ kita boleh belajar sesuatu untuk pasukan kami. Selain turut berentap, para pemain peringkat sekolah ini juga berpeluang untuk melihat pasukan senior mempamerkan mutu permainan yang terbaik. Malah pada setiap edisi penganjuran semakin berkualiti dan dibarisi para pengadil penuh berpengalaman.”, ujar Mohd Hafiz Bin Zainon selaku jurulatih pasukan SMK Abi, Perlis yang telah menyertai kejohanan NS Royal 7s sejak dari tahun 2000. Beliau yang berusia 31 tahun yang juga seorang guru di SMK Abi turut mengulas yang kejohanan ini wajar diteruskan dan menyeru agar lebih banyak lagi pasukan ragbi sekolah-sekolah seluruh Malaysia dapat menyertai kejohanan ini.

Sementara itu juga, Sukandaily turut mendapatkan pandangan dari Encik Zulkefli bin Mohd Amin selaku jurulatih pasukan ragbi sekolah SMK Sri Mersing.

“Penganjuran kejohanan ini amat berbaloi buat kami yang hadir jauh dari selatan tanah air. Satu kejohanan peringkat antarabangsa yang wajar disertai oleh pasukan ragbi sekolah di Malaysia ini. Saban taun mutu penganjuran makin meningkat dan ianya satu pulangan perlaburan bagi para pemain kami yang masih di bangku sekolah.”, ujar Zulkefli Bin Mohd Amin yang melatih pasukan SMK Sri Mersing sejak 2012 dan tidak pernah terlepas peluang menyertai Kejohanan NS Royal 7s.

Jurulatih pasukan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail(SSTMI); Syed Shazril Syed Mahadzir juga turut menyatakan pendapat yang sama di mana kejohanan ini sewajarnya diteruskan. Beliau menyuarakan kejohanan seperti ini adalah platform terbaik untuk pendedahan semaksimum mungkin bagi para pemain dari sekolah sukan.

“Muncul sebagai juara sememangnya peluang bagi setiap pasukan yang bertanding. Namun kami selaku pasukan dari sekolah sukan sememangnya sukar untuk melepaskan pendedahan yang dikecapi di sini. Hadir kami ke sini adalah untuk pendedahan dan pembangunan kepada pasukan ragbi sekolah sukan ini.”, ujar Syed Shazril Syed Mahadzir mengakhiri perbualan.

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


Page generated in 1.385 seconds. Stats plugin by www.blog.ca
X