Ustazah Perkasa Ragbi SMK Sri Mersing

Ustazah Salmah Binti Muda(kiri) bersama Zulkefli bin Mohd Amin(tengah) selaku jurulatih SMK Sri Mersing sewaktu Kejohanan NS Royal 7s 2017 Ke-19. Kredit Foto – Sukandaily

Sejarah pembangunan ragbi di SMK Sri Mersing sememangnya unik apabila seorang guru wanita yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam menjadi salah seorang individu penting dalam penubuhan kelab ragbi di sekolah ini. Segalanya bermula pada 2012 apabila hasrat penubuhan kelab ragbi ini diilhamkan oleh Encik Mat Jais Bin Samat yang baru dilantik selaku pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) Mersing ketika itu. Malah ilham ini juga turut menarik perhatian Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor; Tuan Haji Sharuddin bin Sharif dengan mewujudkan program Pusat Kecemerlangan Ragbi Negeri Johor. Hasil dari dorongan yang begitu tinggi dari pihak tertinggi itu terus diterjemahkan oleh pengetua SMK Sri Mersing iaitu Encik Chua Choe Sang dan Ustazah Salmah Binti Muda menyahut cabaran selaku pengurus pasukan kelab ragbi ini.

Beliau turut dibantu oleh suaminya sebagai jurulatih pasukan sejak dari awal penubuhan sehingga kini. Sejak dari itu tanpa menoleh ke belakang terus memperkasakan pasukan ini menjadikan salah satu sekolah yang mula meningkat naik dalam arena sukan ragbi ini. Sekolah ini juga tidak “keseorangan” apabila kelab ragbi Mersing Eagles dan Kesatuan Ragbi Johor turut hadir memberi bantuan dan sokongan khususnya dari segi latihan dan logistik yang diperlukan.

Ustazah Salmah kini berusia 48 turut mengamit kenangan manis sepanjang sejarah penubuhan kelab ragbi ini setelah dinobatkan juara kejohanan ragbi bawah 15 tahun di Majlis Sukan Sekolah Malaysia(MSSM) setelah menewaskan SMK Yahya Petra, Kelantan pada 2015 sekaligus muncul juara buat pertama kali penganjuran sejak 1981. Kejayaan ini juga berjaya memecahkan dominasi kejuaraan yang sebelum ini selalu berpihak kepada sekolah Maktab Rendah Sains Mara.

Pelajar SMK Sri Mersing turut berpeluang bermain bersama kelab ragbi Mersing Eagles untuk berentap di kejohanan yang lebih tinggi. Kredit Foto – Sukandaily


Manakala suami kepada Ustazah Salmah, Zulkefli bin Mohd Amin berusia 57 tahun merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam sukan ragbi ini. Sejak 1984 beliau berkecimpung dalam kejurulatihan membawa beberapa pasukan ragbi sekolah sekitar Johor untuk menempa nama. Encik Zulkifli juga menerangkan bahawa setiap latihan ragbi yang disediakan tidak akan menggangu waktu pembelajaran para pelajar. Malah setiap pemain ragbi di sekolah ini turut diberi penekanan akademik selain pembangunan kerohanian dan sahsiah para pelajar.

“Ke mana sahaja kejohanan yang kami pergi, kami tidak abaikan waktu solat berjemaah di kalangan kami. Nilai-nilai murni yang tinggi amat penting perlu dipupuk dari awal di kalangan para pemain ini. Malah dengan sukan ini secara tidak lansung mematangkan mereka.'”, ujar Zulkefli bin Mohd Amin anak jati Rengit, Batu Pahat yang ditemui Sukandaily ketika Kejohanan NS Royal 7s 2017 ini.

Jurulatih ini juga turut berkata ramai para pelajar lepasan sekolah ini berjaya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di atas tiket sukan ragbi ini. Selain itu para lepasan sekolah ini juga turut berpeluang bermain ragbi dengan kelab ragbi Mersing Eagles untuk berentap di kejohanan yang lebih tinggi.

Salin kod di bawah ini dan letakkan di laman web anda


Page generated in 1.354 seconds. Stats plugin by www.blog.ca
X